Tarikh lahir, buat duit, teori nombor, jana wang di Alam Suka-Suka 1-2

* PETIKAN ruangan bulanan 'BICARA NEO MASKULIN', majalah MASKULIN, terbitan KARANGKRAF (M), edisi Disember 2011.

Selangkah ke... ALAM SUKA-SUKA!

Dalam setiap perjalanan yang menuju jauh ke hadapan, elok juga kita berhenti beberapa ketika untuk melihat-lihat ke belakang. Destinasi yang kita tuju hampir pasti akan berubah-ubah walaupun destinasi sebenar kita semua – kematian – akan sentiasa menanti sama ada kita sedar atau pun tidak.

Untuk artikel kali ini, izinkan saya berbincang sedikit sebanyak tentang personaliti, identiti dan diri kita. Ia sekadar suatu perbincangan ilmiah yang ringan sebelum kita kembali membicarakan agenda lelaki neomaskulin dalam keluaran akan datang. Yang pasti, hari ini personaliti dan identiti adalah dua topik yang sering diutarakan semua orang.

Tidak kira perempuan atau lelaki, muda atau tua, tidak kira latar belakang ekonomi dan juga keluarga, topik personaliti dan identiti menjadi semakin hangat dek rangkaian sosial dunia maya seperti Facebook dan Twitter. Malah carian Google akan menunjukkan begitu banyak weblog di dunia maya dengan topik seperti ‘kuiz dan ujian personaliti’, ‘ketahui rahsia personaliti’ dan bermacam-macam lagi.

Mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, setiap seorang daripada kita akan terdedah kepada ‘informasi’ seperti ini. Jika ditanya, setiap orang pasti akan berkata “Saya hanya membaca dan mengambil tahu sekadar suka-suka saja!” Maka terbitlah pula buku-buku ringan tentang personaliti dan identiti untuk ‘suka-suka’. Dan khabarnya, dengan label suka-suka itu ramai pula yang SUKA membeli dan membacanya!

[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]

“Sekadar suka-suka sahaja...”

Mungkin disebabkan motif ‘sekadar suka-suka sahaja’ ini makin bertambah pula informasi tentang personaliti dan identiti di dunia maya yang merangkumi tajuk seperti ‘Rahsia tarikh lahir anda berdasarkan bulan kelahiran’, ‘Ketahui rahsia nama anda dari teori nombor’ dan bermacam-macam-macam lagi.

Dalam bentuk poster, tampalan weblog, e-mel berantai dan lain-lain, saya pasti ramai yang melihat fenomena ini sebagai sesuatu yang biasa sahaja, sesuatu yang... suka-suka! Akan tetapi, tidakkah anda hairan kenapa secara tiba-tiba sahaja kesukaan kelompok masyarakat kita terdorong ke arah ini?

Kenapa tidak kita semua cenderung untuk suka-suka membicarakan topik ekonomi semasa misalnya? Atau jika topik seperti itu terlalu berat, ada 1001 topik lagi yang boleh kita semua belajar untuk suka. Namun realitinya, hari ini kisah personaliti dan satu lagi topik hangat – jana wang tanpa berusaha keras kerana wang ringgit adalah jalan yang sebenar ke arah kebahagiaan dunia – amat disukai oleh begitu ramai orang.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan mereka. Sebabnya, mereka hanya... suka-suka! Tambahan pula kita tidak berhak untuk menghentikan kecenderungan orang lain. Dalam erti kata lain, biarkanlah mereka di dalam dunia mereka. Apa pula kisahnya dunia anda? Adakah anda juga taksub dan tergila-gila dengan topik seperti personaliti dan penjanaan wang ringgit? Atau sekadar suka-suka?

Suka dilema, konflik dan masalah?

Ruangan ini selalu membawakan dan berkongsi dengan anda dilema, konflik dan masalah hidup yang pasti tidak disukai oleh sesiapa pun. Saya juga pasti selagi ada kudrat dan selagi mampu, kita semua akan berdoa agar kita dijauhkan daripada dilema, konflik serta masalah yang diketengahkan melalui ruangan ini.

Tidak ada sesiapa pun yang suka kalau diri mereka dilanda dilema, konflik dan masalah. Malah mereka juga pasti berharap dan berdoa setiap ketika agar ahli keluarga dan teman rapat mereka juga dijauhkan daripada segala macam dilema, konflik dan masalah! Namun apakah tindakan kawalan yang boleh kita ambil apabila dilanda musibah dan tragedi dalam hidup sehari-hari?

Atau mungkinkah tidak ada tindakan yang boleh kita ambil apabila berhadapan dengan musibah dan tragedi? Dalam erti kata lain, mungkinkah lebih elok kalau kita tidak hiraukan dilema, konflik dan tragedi kerana ia topik yang terlalu berat? Siapa yang mahu berfikir tentang musibah dan tragedi hidup, bukan?

Mungkin ini sebabnya kita semua lebih senang berasa di alam suka-suka. Kita lebih senang kalau takdir diri kita ditentukan oleh nama atau bulan kelahiran. Jadi, kalau ada sesuatu musibah atau tragedi berlaku kita tidak perlu berfikir panjang – salahkan sahaja nama yang diberi oleh emak dan ayah, salahkan ayah dan emak juga kerana salah dalam merancang keluarga tanpa memikir bulan kelahiran anda kelak. Begitu? [Akan disambung...]

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *