Dari kaum Hawa, perempuan, wanita ke identiti NeoFeminin kontemporari 2-2

PETIKAN siri tiga artikel "Identiti, personaliti wanita (NeoFeminin) hari ini" (Februari, Mac dan April 2012) ruangan bulanan Bicara NeoMaskulin, majalah Maskulin, Karangkraf (M).

Khalayak umum ditanya DUA soalan di bawah.

(1) Apakah ciri/sifat ideal atau unggul untuk dijadikan sebahagian identiti wanita moden hari ini?
(2) Apakah nilai hidup yang dapat dijadikan sebahagian manifestasi personaliti wanita neofeminin?

Ciri/sifat ideal/unggul untuk dijadikan identiti serta manifestasi personaliti wanita (neofeminin) hari ini – kata LELAKI:

SOALAN 1: Apakah ciri/sifat ideal atau unggul untuk dijadikan sebahagian identiti wanita moden hari ini?
[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]

Dia tidak perlu bergantung harap kepada orang lain

Pendapat ini dinyatakan oleh Faiez D dan Shukran S, dua orang ahli profesional muda yang memiliki karier yang stabil. Menurut Faiez, apabila seorang wanita tidak terlalu bergantung harap kepada orang lain dia sebenarnya memancarkan kebijaksanaan dalam identitinya. Wanita yang berdikari adalah individu yang bijak mengurus kehidupan sehari-hari dan punya kekuatan tersendiri.

Untuk Shukran pula, apabila tidak bergantung harap kepada orang lain seorang wanita sebenarnya sedang melatih keterampilan diri agar dia menjadi cekap dalam segala sesuatu. Wanita-wanita sebegini bukan hanya layak dilihat sebagai wanita neofeminin, mereka juga boleh dijadikan ikon dan idola komuniti serta masyarakat.

Dia lambang segala yang terbaik dari Timur dan Barat

Memang menarik perumpamaan yang dikongsi oleh Shadzril E, yang juga seorang lelaki neomaskulin berkerjaya dan sudah berkeluarga. Menurut pandangan Shadzril, wanita yang mempunyai ciri-ciri yang hebat dari dunia Timur dan Barat sudah pasti akan memiliki semangat diri yang kental dan waja.

Dengan adanya kedua-dua ramuan ini, seorang wanita akan menjadi benar-benar hebat. Sebagai contoh, dia memiliki kesopanan dan tatasusila yang menjadi lambang kekuatan peribadi ketimuran. Namun, pada masa yang sama, harga dirinya yang tinggi dari dunia ketimuran bererti wanita itu tidak boleh diperbudakkan atau diperkecilkan kebolehannya oleh orang lain. Jika perkara ini berlaku, sudah pasti dia akan menjadi garang bak harimau Malaya yang sedia menerkam untuk mempertahankan hak dan maruah dirinya!

Dia berilmu pengetahuan, bijak dan berfikiran kontemporari

Meneruskan perbincangan, seorang pegawai kanan polis Razrin A pula meletakkan ciri yang sama untuk wanita neofeminin seperti ciri yang menjadi aspirasi semua lelaki neomaskulin. Berilmu, bijak dan berfikiran kontemporari sudah pasti menjadi pemangkin perubahan dalam diri seorang wanita yang layak digelar neofeminin.

Razrin menambah, dalam dunia kerjaya hari ini ada kalanya perbezaan antara lelaki dan wanita tidak menjadi persoalan lagi. Yang paling utama adalah kebolehan seseorang yang akan menentukan kemajuannya di dalam karier dan juga keupayaannya mencipta hidup yang amat bahagia. Semua ini sudah pasti memerlukan ilmu yang banyak dan kemampuan yang tinggi untuk mencerna maklumat baru. Dengan adanya ciri-ciri ini, seorang wanita pasti akan dapat mendekati identiti dan personaliti sang neofeminin kontemporari.

Dia amat percaya diri, baik hati dan juga elok perilakunya

Di mata Sahny A seorang pembaca setia ruangan ini, wanita neofeminin adalah wanita yang percaya kepada dirinya dan mampu berusaha untuk maju ke hadapan walaupun apabila dia terpaksa bersaing dengan orang lain. Walau bagaimanapun, keyakinan yang tinggi ini tidak terikat dengan kesombongan kerana naluri hati wanita yang lemah-lembut memberi kestabilan kepada diri mereka. Mereka boleh menjadi individu yang amat yakin tetapi pada waktu yang sama mereka juga baik hati dan elok perilaku.

Sudut pandang ini dikongsi oleh Haady O, seorang pensyarah muda dan pemikir. Untuk Haady wanita yang baik hati dan elok perilaku amat menarik di mata orang lain (lebih-lebih di mata lelaki-lelaki neomaskulin). Peribadi mulia seperti ini juga menjadikan wanita neofeminin lebih baik dan elok berbanding wanita kebanyakan.

Dia tabah menghadapi dugaan, senjatanya doa dan harapan

Noramin M seorang siswa IPTA memberi pandangan terakhir yang saya rasa tiada tolok bandingannya dalam usaha kita menjejaki identiti dan personaliti wanita neofeminin hari ini. Kata orang tua-tua, air mata adalah senjata wanita. Namun realitinya, doa dan harapan menjadi kekuatan dalam diri dan peribadi wanita dan kadangkala kedua-duanya tidak ada dalam diri lelaki kebanyakan.

Wanita di mata Noramin amat kuat dan tabah dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Dengan tubuh yang selalu dilihat lemah di mata umum, seorang wanita mampu membawa lahir cahaya mata anugerah Tuhan ke muka bumi ini. Sehebat dan sekuat mana pun seorang lelaki, dia tidak akan mampu melakukan keajaiban ini. Memang benar, kekuatan dan ketabahan seorang wanita mendekatkannya kepada identiti serta personaliti neofeminin.

AL-FATIHAH. Ketika artikel ini ditulis Noramin M, nama sebenar beliau Noramin Mahamad Nor, telah kembali ke Rahmatullah kerana komplikasi jangkitan paru-paru. Sama-sama kita doakan agar Allah SWT menempatkan roh Allahyarham Noramin bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh.

SOALAN 2: Apakah nilai hidup yang dapat dijadikan sebahagian manifestasi personaliti wanita neofeminin?
KETAHUI definisi istilah identiti dan personaliti berdasarkan kamus.

LIHAT poster purbakala tentang cara mendidik anak perempuan di KIDSpad.

KETAWAKAN keterbelakangan manusia Alam Melayu apabila membicarakan gender.

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *