(Bukan) bercakap dengan jin, tetapi diri sendirilah!

Airil Haimi Adnan, untuk majalah Maskulin,
ruangan 'Bicara Neo Maskulin', April 2008


Adakah anda suka bercakap dengan diri anda sendiri? Jika jawapannya ya, adakah anda berasa tabiat anda itu aneh lagi pelik serta menandakan bahawa anda sebenarnya sedang menghidapi penyakit mental yang agak kronik? Jika diperhalusi, bercakap dengan diri anda sendiri bukan suatu masalah besar malah ia amat perlu untuk membantu seorang individu ‘mengurus’ fikiran serta tindakannya.

Anda mungkin bertanya kepada diri anda sudahkah paip di dalam bilik air ditutup agar ia tidak melimpah seperti bulan lepas? Anda juga mungkin memberi penerangan kepada diri tentang perjalanan pagi itu dan jalan mana yang perlu diambil untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana anda sudah sedikit terlewat. Walau bagaimanapun, di manakah garisan yang tidak boleh dilangkah apabila kita berbincang tentang ‘bercakap dengan diri sendiri?’

Bicara April ‘08

“Abang soalan saya pendek je. Saya nak tau kalau saya selalu cakap dengan diri saya sendiri itu tandanya saya gila ke? Tapi saya tak cakap kuat-kuat pun cuma dalam hati je. Satu lagi masa yang cuba ingat apa yang saya baca dalam buku teks, saya buat macam saya tengah bagi ceramah depan orang. Kawan sekolah saya semua kata saya ni ada tanda orang gila. Betul ke? Saya takut ni!”

Pijan
Bidor, Perak


Sebenarnya, tabiat bercakap dengan diri sendiri bermula sewaktu kita berada di zaman kanak-kanak lagi. Ia bermula dan menjadi semakin aktif sekitar usia praformal, dari umur 0-6 tahun. Ia juga terjadi dengan mendadak apabila seorang anak kecil mampu berbahasa yakni menggunakan bahasa dengan orang lain disekelilingnya. Jika anda ingin kepastian, lihat saja apa yang berlaku bila seorang anak kecil bermain dengan sendiri. Mulutnya tidak akan berhenti meluahkan kata-kata walaupun tidak ada orang yang sedang bermain dengannya!

Jangan khuatir kerana itu bukan petanda bahawa si kecil comel berkenaan sedang dirasuk jin atau syaitan (melainkan jika dia juga boleh memusingkan kepala 180 darjah dan memanjat ke atas bumbung rumah seperti seekor labah-labah). Percakapan dengan diri sendiri (inner speech) boleh membawa manfaat yang banyak kepada seorang lelaki asalkan ia tidak melampaui batas dan masih berada di bawah kawalan individu berkenaan.

Manfaat fenomena percakapan peribadi untuk seorang individu

Pada peringkat metakognitif, kita sebenarnya mampa berfikir tentang corak kita berfikir! Bayangkan manfaat yang dapat diraih jika seorang lelaki neomaskulin boleh berfikir tentang corak pemikirannya sendiri. Ini bererti lelaki itu boleh mengawal pemikiran negatif, memberi keyakinan kepada dirinya dan dia juga boleh memastikan bahawa segala tindakan yang diambil telah melalui proses penilaian kritis terlebih dulu.

Apabila kita berinteraksi dengan diri sendiri juga ia boleh membantu memberi dorongan dan motivasi tanpa perlu mendengar ceramah ‘pakar’ motivasi yang tidak memberi apa-apa makna. Namun pada masa yang sama, percakapan peribadi juga boleh membawa kesan negatif jika individu berkenaan terlalu kritikal tentang diri dan kemampunnya atau ia membuatkan lelaki tersebut terlalu yakin walhal kemampuannya tidaklah seberapa.

Bahaya fenomena percakapan peribadi di luar kawalan individu

Bagaimana pula kisahnya jika anda seorang lelaki yang mempunyai ciri personaliti yang telalu kritikal dengan diri anda sendiri? Dalam situasi sebegini, percakapan peribadi anda mungkin membawa kesan negatif apabila anda sering menyerang dan juga menyangkal diri anda. Akibatnya, anda akan berasa kurang yakin pada diri sendiri serta mungkin dilanda kemurungan serta depresi yang teruk.

Perlu saya nyatakan di sini, ada kalanya percakapan peribadi tidak berlaku di dalam hati tetapi ia bukan sindrom penyakit mental. Sebagai contoh, anda marah kepada diri sendiri kerana terlupa untuk mengunci pintu rumah semasa pergi bercuti hingga semua barang-barang berharga anda dicuri. Pada ketika itu, anda mungkin akan menzahirkan perasaan dengan percakapan sosial yang juga boleh didengar oleh orang lain!

Teruskan percakapan peribadi tetapi jangan sampai di luar kawalan!

Gunakan kemampuan anda untuk bercakap dengan sendiri untuk menguruskan perjalanan hidup setiap hari dan juga untuk mengawal tindakan yang bakal diambil agar lebih rasional dan tidak melampaui batas serta norma kehidupan. Pada tahap metakognitif seperti yang telah disebutkan di awal bicara kali ini, seorang lelaki mampu berfikir tentang caranya berfikir dan mengubah resam berfikir sesuai dengan masa, keadaan serta tempat.


Ikuti sepenuhnya artikel menarik dari saintis sosial, pensyarah dan pakar perunding kebangsaan dan antarabangsa yang berpengalaman luas ini, dalam MASKULIN APRIL 2008 tentunya!

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *