Petikan ruangan 'Bicara Neo Maskulin', majalah Maskulin, Karangkraf (M) Jun 2010
Bicara Tentang Sang NeoMaskulin
Sembilan tahun! Begitu lama sebenarnya, sejak terma lelaki neo atau ‘Neomaskulin’ mula terpampang di beberapa majalah Malaysia. Usaha untuk memperkenalkan konsep sang neomaskulin kemudian diteruskan dengan terbitnya buku dalam bahasa Melayu tentang lelaki neomaskulin. Dan usaha ini disambung dengan ruangan bulanan ini yang telah beberapa tahun bersama anda.
Konsep neomaskulin sebenarnya dikongsi juga dengan sahabat-sahabat neo kita di negara Jerman, yang mana telah memperkenalkan identiti ini beberapa tahun lebih awal lagi daripada kita di Malaysia, Singapura dan Brunei – di mana majalah-majalah negara kita boleh dibeli. Anda hanya perlu membuat carian internet dengan kata kunci ‘neomaskulin’ untuk mendalami identiti lelaki baru ini.
Saya sendiri sering merewang di dalam dunia maya internet, sambil mencari dan melihat bagaimana identiti neomaskulin dipamerkan dan digunakan oleh sahabat-sahabat kita di luar sana.
Saya sendiri sering merewang di dalam dunia maya internet, sambil mencari dan melihat bagaimana identiti neomaskulin dipamerkan dan digunakan oleh sahabat-sahabat kita di luar sana.
[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]
Neomaskulin di dusun? Neomaskulin songsang?
Agak lucu juga apabila ada kisah tentang lelaki neomaskulin di dusun buah-buahan, lelaki neomaskulin yang dilihat sebagai bapuk dan pondan, lelaki neomaskulin yang ‘jiwang’ –tidak kurang juga beberapa si polan yang menggunakan nama gelaran ‘neomaskulin’ di laman web sosial seperti Facebook, Friendster dan Myspace!
Boleh dikatakan agak meriah juga dunia lelaki neomaskulin Malaysia di alam internet... sayangnya identiti neomaskulin yang diketengahkan agak lari daripada definisi yang cuba dikongsi melalui ruangan ini.
Dalam erti kata lain, identiti neomaskulin yang cuba kita terapkan dalam diri masing-masing kadangkala tidak lebih daripada sekadar nama atau terma yang digunakan untuk melucu atau mungkin kerana bunyi terma ‘neomaskulin’ ini sedikit canggih kalau dibandingkan dengan ‘lelaki bohjan’ atau ‘mat rempit’.
Senarai semak 10 ciri lelaki beridentiti neomaskulin
Identiti neomaskulin sebenarnya mempunyai erti dan implikasi yang spesifik dan amat tepat, seperti juga terma lelaki homoseksual, uberseksual, ‘yuppie’ dan sebagainya. Anda hanya boleh menganggap diri anda sebagai lelaki neomaskulin jika anda boleh menjawab dengan tepat dan yakin semua soalan di bawah.
Jika anda sedang berusaha ke arah itu juga, anda dibenarkan melihat diri anda sebagai lelaki neomaskulin. Tetapi, anda masih perlu memiliki kesemua sepuluh ciri berkenaan. Jika tidak atau anda tidak memiliki walaupun hanya satu ciri berkenaan maka anda belum boleh sebenarnya menggelarkan diri anda lelaki neomaskulin walaupun sekadar nama gelaran di internet.
Ini kerana jika saya menggunakan nama gelar ‘Batman’, ‘Spiderman’ atau mungkin juga ‘Keluang Man’ sudah tentu saya sekadar ingin membuat lawak bodoh, sekadar melucu atau merapu. Dan anda juga tentu tahu bahawa saya tidak memiliki ciri-ciri wira komik, televisyen dan filem berkenaan, bukan? Begitu juga kesnya apabila anda menggelarkan diri anda sang neomaskulin tetapi anda tidak punya sepuluh ciri di bawah…
ARAHAN: Pilih – “Saya miliki ciri ini” / “Saya sedang berusaha ke arah itu” / “Saya tiada ciri ini” – untuk setiap ciri lelaki neomaskulin sejati:
Ciri NeoMaskulin pertama: Berfikiran global
Kelompok lelaki neomaskulin tidak menghiraukan batasan kemanusiaan yang bersifat jumud dan bercorak pengasingan semata-mata. Oleh sebab itu, mereka mampu menerima pandangan orang lain yang ikhlas dan mendengar kritikan terkawal demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat, hari ini dan pada masa hadapan.
Ciri NeoMaskulin kedua: Pandai menilai
Sang neomaskulin pandai menilai situasi dan hati budi orang lain di sekeliling mereka. Mereka lazimnya tidak terlalu cepat melatah dan membuat kesimpulan yang membabi buta tentang orang lain. Pada masa yang sama mereka juga harus selalu menilai kemampuan dan kelemahan diri, demi proses penambahbaikan berterusan.
Ciri NeoMaskulin ketiga: Memberi dan menerima
Sebagai sang neomaskulin, anda perlu menjadi seorang lelaki yang bersifat pemurah dan dapat mengimbangi di antara memberi dan menerima (sambil memberatkan usaha untuk memberi kepada orang lain daripada menerima saja). Usaha ini perlu diterapkan di dalam semua aspek kehidupan anda sebagai lelaki neomaskulin dunia pascamilenium.
Ciri NeoMaskulin keempat: Sentiasa berdaya saing
Persaingan yang sihat dapat memastikan kelompok lelaki neomaskulin tidak kekal dalam kedudukan statik dan terlalu cepat gembira dengan segala yang telah mereka usahakan. Proses penambahbaikan dalam menjalankan tanggungjawab seharian menjadi teras hidup lelaki neomaskulin pascamilenium.
Ciri NeoMaskulin kelima: Punya nilai feminin positif
Ini bukan bermakna setiap lelaki neomaskulin harus memakai baju kurung, pakaian dalam wanita dan mengenakan gincu. Nilai feminin positif seperti lemah-lembut, bantu-membantu dan banyak lagi harus dicontohi, supaya lelaki tidakkan pupus. Pastikan nilai feminin negatif seperti rajin bergosip dan mengata orang tidak pula menjadi ikutan!
Nilai empati membantu sang neomaskulin merasai apa yang dirasakan oleh orang lain di dalam ruang hidupnya. Jika semua manusia di muka bumi ini mempunyai nilai empati nescaya dunia kita akan menjadi lebih aman serta sejahtera. Empati juga membantu lelaki neomaskulin menjadi manusia yang memiliki kompas moral peribadi.
Ciri NeoMaskulin ketujuh: Rasional dalam tindakan
Antara sifat lelaki prasejarah yang bersahabat dengan dinosaur adalah mereka sering panas baran. Sang neomaskulin sentiasa belajar untuk menyemai sifat sabar dalam dirinya agar dia dapat lebih rasional dalam tindakan. Nescaya ini akan membantunya dari segala segi terutama di dalam perhubungan dengan orang lain.
Ciri NeoMaskulin kelapan: Mahu memajukan diri
Jika kita mahu maju, kita tidak harus cepat menolak peluang yang diberikan dan kita juga harus bijak dalam mencipta peluang baru. Oleh sebab itu, sang neomaskulin tidak cepat berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini dan dia sentiasa mahu menghadapi cabaran baru yang lebih sukar.
Ciri NeoMaskulin kesembilan: Tidak cepat mengalah
Sifat cepat mengalah menandakan personaliti yang lemah dan itu bukan seorang individu yang mampu memikul tanggungjawab. Sang neomaskulin tidak akan cepat mengalah dan menyerahkan segalanya kepada takdir. Pepatah berpantang maut sebelum ajal menjadi cogan kata hidup lelaki neomaskulin pascamilenium.
Ciri NeoMaskulin kesepuluh: Sentiasa belajar dan menimba pengalaman
Ini adalah kriteria utama yang akan menentukan sama ada anda seorang neomaskulin atau tidak. Kemampuan belajar dan menimba pengalaman serta meminta pendapat orang lain dengan rendah diri (walaupun daripada wanita atau kanak-kanak) memastikan sang neomaskulin tidak pupus atau mati ketika sedang hidup, asalkan dia tidak pula menjadi angkuh, bongkak atau sombong bila ilmu penuh di dada kelak!
Rujukan utama: Senarai semak ini dipersembahkan kepada anda berdasarkan keseluruhan isu dan topik yang telah dibincangkan dalam buku ‘Menjejak Sang Neomaskulin’ terbitan Buku Prima (2008).
Airil Haimi Adnan adalah pensyarah UiTM Perak dengan pengalaman sebagai penyelidik dan perunding. Di media Airil membicarakan isu-isu sains sosial kontemporari.
* Entri asal 14 Jun, 2010. Disunting dengan informasi tambahan Sabtu, 7 April, 2012.
2 comments:
sabar menunggu maskulin keluaran julai.. adooyyaaiii bila nak kluar ni??
owh banyak rupanya definisi neo-maskulin heh :) baru tahu
Post a Comment