Duit hantaran, jual anak, seksa nikah kahwin (bakal) suami neomaskulin 1-2

* PETIKAN ruangan bulanan 'BICARA NEO MASKULIN', majalah MASKULIN, terbitan KARANGKRAF (M), edisi Oktober 2011 (draf bahagian pertama daripada dua).

"KEMBARA KASIH-CINTA, JODOH, ALAM PERKAHWINAN"

Semuanya bermula apabila saya dilayangkan e-mel oleh salah seorang pembaca setia ruangan kita ini. Ia luahan hati dan jiwa seorang lelaki biasa lagi sederhana yang sedang berusaha untuk menjadi seorang suami. Begitu banyak dugaan dan rintangan yang terpaksa beliau hadapi, akan tetapi beliau tetap tidak mengalah kerana mengenangkan teman-kekasih dan bakal isteri yang setia di sisi. Ini sebahagian isi e-mel beliau...

Bicara Okt 2011 dan Nov 2011

[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]

“Sebelum saya mula, saya bukan cari simpati dari sesiapa. Cuma saya rasa ruangan yang encik kelola ini tempat paling sesuai untuk saya kongsi kisah saya. Sudah lama saya cuba luahkan perasaan saya tapi ke mana? Di mana? Sebagai lelaki encik sendiri tahu, kita ni susah nak cari tempat untuk berkongsi cerita. Selalunya kita semua pendam perasaan sendiri. Tapi sampai bila?”

“Cerita hidup saya rasanya tak menarik langsung. Saya anak sulung dan termasuk saya kami lima beradik. Abah saya meninggal dekat 15 tahun dulu sebab kemalangan. Sejak tu ibulah yang sara hidup kami adik-beradik. Ibu saya kerani biasa di jabatan kerajaan tapi berkat usaha ibu, kami adik-beradik semua okay. Ada yang dapat masuk asrama penuh, ada yang tengah belajar di IPTA.”

“Tapi sebagai abang, lepas habis SPM saya terus kerja sebab nak tolong ibu saya. Mula dulu saya kerja di restoran makanan segera tapi hari ni saya dah jadi Supervisor. Okay juga, taklah tinggi gaji saya tapi saya dapat tolong ibu dan adik-adik. Adik yang bongsu akan ambil PMR tahun ni. Kata ibu, lepas adik habis sekolah bolehlah dia pencen. Ibu pun kebelakangan ni asyik sakit-sakit. Mungkin sebab terlampau kerja keras.”

“Mungkin sebab lali dengan bekerja, saya rasa hidup saya bukan macam lelaki lain. Saya selalu ambil syif sebanyak mungkin supaya saya dapat tambah pendapatan. Ada waktunya saya ambil syif yang orang lain tak mahu, sekadar tolong kawan-kawan yang kerja dengan saya. Itu rutin saya sampailah hari yang ‘dia’ datang dalam hidup saya.”

“Semua bermula masa dia tertinggal beg di kaunter. Saya kejar dia dan bagi balik beg dia. Saya tak harap apa pun daripada dia tapi dia kata dia nak belanja saya sebab dalam beg duit tu ada beberapa ribu ringgit duit gaji yang dia baru ambil dari bank. Jujur saya tak tengok pun dalam beg dia tapi lepas puas tolak akhirnya saya kata okay dan kami pun keluar sama-sama.”

“Agak kekok sebab dia yang bayar masa makan dan dia ajak tengok wayang. Sumpah seumur hidup saya tak pernah tengok wayang. Mesti encik tergelak baca e-mel saya ni kan? Akhirnya kami pun berkawan. Saya panggil dia Shai, dia kata kerja dia tentang aktuari. Saya tak tau langsung fasal bidang tu, tapi Shai pernah ajak saya tengok tempat dia kerja. Dia anak tunggal, anak orang berada. Yang pasti dia bukan macam saya.”

“Tutur kata Shai manis. Manis seperti senyuman Shai. Dia baik hati dan selalu merendah diri. Encik boleh teka apa jadi lepas tu kan? Saya terpikat kepada dia dan dia pun ajak saya jumpa papa dan mama dia. Saya betul-betul tak mahu jumpa famili Shai. Bukan apa, saya rasa saya tak layak kawan dengan dia. Tapi entahlah, mungkin dah jodoh saya.”

“Lebih setahun kami kawan. Rasa sayang kami dah terlampau kuat. Sampailah satu hari dia minta saya hantar rombongan ke rumah. Saya memang terkejut masa tu. Sampai hari ni saya tergelak kalau saya teringat masa Shai cakap macam itu kepada saya. Saya tak cakap direct kepada ibu, saya minta tolong dekat Paklang dan Maklang saya. Merekalah yang berbincang dengan ibu dan akhirnya ke rumah Shai...”

“15 ribu. Itulah nombor yang diberi kepada saya. Itu pun kata Maklang saya, sudah diminta kurang dari 20 ribu yang diletakkan pada mulanya. Kepala saya rasa ringan masa tu, mana saya nak cari 15 ribu? Duit simpanan saya tak sampai seribu. Duit gaji pun saya bayar Viva tiap bulan. Kereta itu sajalah harta yang saya ada. 15 ribu, mana saya nak cari 15 ribu?” [BERSAMBUNG]

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *