Sifat pemarah dalam diri lelaki yang mudah marah!

Airil Haimi Adnan, untuk majalah Maskulin,
ruangan 'Bicara Neo Maskulin', Julai 2008


Marah? Siapa yang tidak pernah marah seumur hidupnya? Rasanya semua individu, tidak kira lelaki atau wanita pernah marah akan sesuatu, marah kepada seseorang, waima dirinya sendiri. Marah adalah emosi semulajadi yang jarang dapat kita elakkan dan ia sukar untuk dikawal.

Tetapi, apa pula kisahnya apabila rasa marah beraja di hati hingga mencengkam jiwa? Banyak label yang diberikan kepada lelaki yang pemarah, contohnya gengster tahi minyak, kaki gaduh, kepala angin, panas baran dan beberapa cop lain yang mempunyai konotasi yang agak negatif.

Dipendekkan cerita, lelaki yang mudah berasa marah adalah termasuk di dalam golongan individu yang kurang stabil kerana kadang kala lelaki seperti ini boleh membawa bahaya kepada orang lain (dan juga dirinya sendiri tanpa disedari). Masalah yang paling besar apabila seorang individu sedang berasa marah adalah hilang daya kemampuan untuk berfikir serta membuat pertimbangan secara rasional.

Bayangkan dilema serta kerumitan yang mungkin timbul jika kemarahan yang sedang membuak di dada seorang lelaki ‘disembur’ kepada orang lain yang berada di sisinya seperti isteri, anak atau teman sekerja lelaki tersebut. Seperti lumrah, penyesalan hanya akan hadir setelah nasi bertukar menjadi bubur hingga akhirnya kering menjadi kerak dan hangus…

Bicara Julai ‘08

“Ada tak cara paling berkesan nak kurang rasa marah? Hari tu saya marah sangat pasal hal tempat kerja sampai terbawa ke rumah. Saya terlampau marah sampai nyaris terpukul anak bongsu saya yang kebetulan hari tu asyik meragam. Tuhan saja tau betapa lega hati saya tak terbuat perangai ganas macam tu. Memang saya bengis sikit kata orang, kat tempat kerja, bos pun pernah kena bentak dengan saya! Kadang-kadang rasa macho juga dan lega lepas marah. Tapikan, saya sedar itu bukan cara terbaik luahkan rasa marah dan tindakan tu bodoh sebab boleh makan diri saya sendiri satu hari nanti. Apa kata Tuan?”

Ridwan Rafie
Pinggir Ibu Kota


Apa kata saya?Tentunya cara yang diambil Ridwan untuk melepaskan kemarahannya bukan cara yang terbaik dan ia bukan cara yang produktif untuk mengurangkan kemarahan yang membakar di dadanya. Tetapi saya yakin, Ridwan sendiri sedar tentang perkara ini seperti juga ramai lelaki lain yang mungkin dicop sebagai kepala angin dan panas baran.

Jika diperhalusi, melepaskan rasa marah sesuka hati kita boleh membawa bencana yang lebih besar misalnya, jika seorang lelaki yang sedang marah akhirnya bertindak agresif dan ganas di luar batasan. Ini kerana tindakan fizikal yang melampau sering kali menyusul apabila rasa marah berada di luar kawalan diri.

Akan tetapi, daripada pengalaman saya sendiri apabila kita sedang amat marah, semua perkara rasional seakan-akan ‘terpadam’ sebentar daripada ingatan. Kadang-kadang seperti kita dirasuk oleh hantu atau syaitan, sebilangan kaum lelaki mudah menjadi berang apabila berasa amat marah hingga pintu boleh ditumbuk, televisyen boleh disepak, barang-barang kaca dapur boleh dibaling hingga hancur.

Dan seperti biasa, penyesalan yang datang selepas rasa marah itu reda – lazimnya sudah terlambat. Mula melatih diri untuk bersabar dari detik ini Meminta seorang lelaki yang sedang marah untuk bersabar, ada kalanya tidak ubah seperti mencurah air ke dalam kuali dengan minyak panas.

Ada pula waktunya, si polan yang meminta lelaki itu bersabar pula akan menjadi mangsa tangan atau kaki lelaki berkenaan! Ertinya di sini, nilai kesabaran harus datang dari dalam diri lelaki berkenaan. Biar betapa lama masa yang diambil dan tanpa memberi terlalu banyak alasan, saya, anda serta mana-mana lelaki yang mudah berasa marah perlu belajar dan terus-menerus melatih untuk bersabar dan membantu meredakan kemarahan dalam diri.

Langkah mudah adalah seperti menjauhkan diri daripada individu atau situasi yang membuatkan kita marah untuk beberapa ketika. Minta juga ‘disedarkan’ oleh orang di sekeliling kita ketika kita sedang marah agar kita boleh berhenti sebentar untuk menarik nafas dan meredakan keadaan.

Dan jangan lupa aktiviti kerohanian dan keagamaan untuk melemahkan nafsu marah yang mudah menyerang seorang lelaki. Dengan melakukan ibadah contohnya, pasti dapat melegakan hati yang mudah diserang rasa marah yang kronik.


Ikuti sepenuhnya artikel menarik dari saintis sosial, pensyarah dan pakar perunding kebangsaan dan antarabangsa yang berpengalaman luas ini, dalam MASKULIN JULAI 2008 tentunya!

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *