Inspirasi Yezz: Be Positive - Jika Ingin Berjaya!
oleh: Siti Farhana Adenan untuk majalah Yezz, Malaysia
1. Boleh kongsi apakah perkembangan terkini saudara?
Saya baru saja menamatkan kontrak selama 7 tahun dengan UiTM, kini sedang menunggu jawapan untuk meneruskan pengajian atau kalau tak dapat, untuk mencari peluang karier baru juga sebagai seorang ahli akademik di IPT lain. Projek luar yang baru tamat adalah beberapa penyelidikan, dan awal 2008 rancangan bual bicara remaja ‘Xpresi Remaja’ dengan Lisa Surihani dan Dafi arahan Erma Fatima. Semalam pula baru pulang dari program kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), lusa saya akan beri ceramah perdana tentang Kualiti di Institut Penyelidikan Galian Perak. Sekarang sedang bertungkus-lumus untuk habiskan buku seterusnya tentang cara belajar Bahasa Inggeris dan sebuah buku cerita ibarat umum.
2. Boleh kongsi latar belakang pendidikan saudara?
3 ijazah Sarjana (Master’s), 2 ijazah Sarjana Muda (Bachelor’s), 3 Diploma Lanjutan dan 2 Sijil Profesional – dalam bidang yang berbeza Sains Sosial, Lingustik Terapan, Pengajian Profesional Pendidikan, Sosiologi, Psikologi, Kaunseling dan lain-lain.
3. Bagaimana boleh timbul minat untuk menceburi bidang pendidikan, kaunseling serta psikologi?
Saya berminat dengan astronomi dan sains dari kecil, tapi kurang pencapaian terutama di sekolah menengah. Kerana bosan dengan suasana sekolah menengah dan segelintir guru yang langsung tidak memberi sokongan kepada saya – saya memilih bidang akademik agar dapat melakukan perubahan dan mendidik dengan cara yang berbeza. Fokus bidang sains sosial – pendidikan, kaunseling, psikologi, sosiologi – adalah kerana minat yang mendalam tentang gelagat dan pemikiran manusia.
4. Siapakah idola saudara dalam lapangan ini?
Tidak lain tidak bukan Ibnu Khaldun, ahli sosiologi dan tokoh pemikir yang juga dikenali sebagai Bapa Sains Sosial Moden.
5. Apakah antara judul-judul buku yang telah saudara hasilkan?
Yang pertama, ‘Menjejak Sang Neomaskulin’ tentang lelaki dan dunia lelaki kontemporari. Kedua, ‘Dunia Si Kecil Kontemporari’ tentang perkembangan dan pembangunan diri kanak-kanak moden. Yang ketiga buku akademik tentang sains sosial dan saintis sosial.
6. Apakah antara cabaran dan rintangan yang pernah saudara lalui dalam usaha merealisasikan impian serta cita-cita saudara (mungkin ada pengalaman sewaktu belajar yang boleh saudara kongsi dengan pembaca sebagai dorongan dan semangat untuk mereka jadi lebih kuat dan berjaya seperti saudara hari ini)?
Minat saya terhadap pelajaran tumbuh subur sewaktu di sekolah rendah, dengan guru-guru yang baik hati dan amat memberatkan kemajuan saya dan rakan sekelas. Sewaktu di sekolah menengah dunia saya terbalik, saya selalu dihalau guru keluar kelas dan akhirnya saya jadi kaki ponteng (tapi saya pulang terus ke rumah dan tidur).
Saya rasa bosan dengan sekolah mungkin kerana saya pelajar biasa saja, akhirnya ramai cikgu lain yang jadi bosan dengan saya juga. Pengalaman pahit ini juga kerana saya tak pernah dapat peluang untuk menyumbang kepada sekolah contohnya dengan masuk pertandingan debat, pidato, kuiz dan lain-lain. Cikgu-cikgu tak pernah pilih saya, mungkin kerana mereka ingat saya bodoh dan keras kepala dan tak mampu buat apa-apa. Hanya ustaz saya Ustaz Ibrahim yang tak pernah berhenti paksa saya masuk kelas, cari saya kalau saya lambat atau ponteng, dan selalu beri nasihat kepada saya. Terima kasih, Ustaz!
Tapi ayah dan mak saya tak pernah kurang beri semangat dan sokongan, dan saya selalu terdorong dengan pencapaian hebat adik saya yang berjaya ke MRSM. Syukur, Tuhan tetapkan hati saya untuk terus berusaha walaupun saya terpinggir. Akhirnya, saya lulus SPM dengan baik, walaupun tak cemerlang, saya berjaya yakinkan panel penemuduga dan dapat terbang terus ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian pada usia 18 tahun. Segala-galanya terus maju dari titik itu.
7. Apakah matlamat dan impian sebenar saudara dalam hidup ini?
Saya ingin belajar dan belajar lagi sebanyak mana yang termampu kemudian berkongsi apa yang saya tahu dengan orang lain agar mereka pula boleh belajar dan maju. Yang paling utama bagi saya adalah menyampaikan maklumat berdasarkan dapatan penyelidikan, perkara yang konkrit – bukan sekadar bagi ceramah motivasi kosong dan kenakan bayaran yang mahal kepada peserta. Itu sebab saya terpaksa tolak kalau ada jemputan beri ceramah ‘motivasi’, kalau perkara lain, Insya Allah saya akan cuba bantu pihak yang menjemput saya.
(Sempena edisi Back To School kali ini, Yezz ingin memberi tumpuan dan penekanan tentang tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah menengah hari ini menerusi artikel Inspirasi bersama saudara Airil kali ini. Di harap saudara Airil sudi berkongsi info dan ilmu bersama para pembaca Yezz di luar sana)
1. Jadi, apakah pandangan saudara tentang tahap pencapaian bahasa Inggeris golongan remaja hari ini?
Minta maaf, tapi realitinya pencapaian majoriti berada di tahap biasa saja malah ada juga yang amat rendah. Semua ini jelas, terutama sekali bila remaja melangkah kaki ke universiti, ramai yang GAGAL subjek Bahasa Inggeris Asas. Dari penyelidikan saya, ada yang tak pernah guna BI di sekolah, ada yang langsung tak tau baca buku BI, dan bermacam-macam masalah lagi. Kesian mereka apabila mereka gagal dan terpaksa ulang kembali subjek mudah ini. Ini pengalaman saya mengajar di UiTM, tapi bila saya tanya ahli akademik lain di IPT lain, mereka juga rupanya menghadapi masalah yang sama!
2. Apakah langkah dan teknik terbaik yang perlu dipraktikkan oleh para pelajar dalam usaha meningkatkan lagi tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka?
Mulakan dengan ubah sikap atau attitude anda. Inilah yang selalu menyakitkan hati kami, guru serta pensyarah BI. Boleh dikatakan semua pelajar yang lemah BI sebenarnya TAHU sebab kelemahan mereka, akan tetapi mereka tidak mahu berubah. Kalau sikap anda positif untuk mempelajari BI, apa saja halangan yang ada dapat anda tempuhi. Mempelajari nahu (grammar), kosa kata (vocabulary), dan aspek lain BI tidaklah sukar sebenarnya, cuma seperti lumrah dalam belajar – perlu ada sikap yang positif, perlu ada kemahuan untuk mencuba, perlu bekerja keras setiap masa. Tanpa elemen ini, apa saja bahasa yang anda pelajari, anda pasti akan GAGAL!
3. Bagimana pula cara terbaik untuk meningkatkan rasa yakin pada diri sendiri sewaktu menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian?
Hentikan berfikir tentang kegagalan dan jangan kerap sangat beri diri alasan untuk tidak mencuba. Sebenarnya masalah pelajar yang lemah agak aneh. Mereka kata BI mereka lemah. Apabila disuruh bercakap atau menulis di dalam BI, mereka tidak mahu kerana mereka percaya mereka lemah. Akhirnya, mereka benar-benar MENJADI LEMAH kerana mereka amat pasif dan langsung tidak mahu mencuba untuk mempelajari dan menggunakan bahasa antarabangsa ini!
Kalau kita nak beri alasan untuk tidak melakukan sesuatu, beribu-ribu alasan boleh kita beri. Tetapi kalau kita benar-benar mahu berusaha, segala-galanya bermula dengan satu usaha kecil saja!
4. Bagaimana pula jika lingkungan pergaulan kebanyakan para pelajar hari ini lebih senang menggunakan Bahasa Melayu dalam perbualan mereka dan bukannya bahasa Inggeris. Bila berhadapan dalam kelompok ini, mereka akan berasa janggal untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Jika ada yang cuba untuk bertutur dalam bahasa Inggeris di dalam kelompok tersebut, lazimnya dirinya akan dianggap berlagak atau mengada-ngada. Jadi bagaimana untuk menangani/menepis situasi sebegini. Sedangkan individu tersebut berhasrat untuk menajamkan lagi tahap penguasaan bahasa Inggerisnya?
Sekali lagi kita terpaksa bercakap tentang realiti. Realitinya di Malaysia, kita tak akan lapar atau sesat kalau tidak tak tau BI, bukan? Dalam erti kata lain, BI tak begitu penting sebagai bahasa sosial berbanding BM, Kantonis, Tamil dan bahasa ibunda lain.
Namun pada waktu yang sama, kita perlu melatih penggunaan BI dalam hidup seharian untuk menjadikannya lebih elok. Jadi mulakan dengan mencari lingkungan teman sekolah yang faham dan setuju dengan usaha anda, contohnya sahabat dari kaum lain yang lebih cenderung menggunakan BI. Anggaplah ini suatu permulaan kepada usaha anda.
Kemudian cuba cari seorang dua sahabat anda yang rapat dan yang berminat untuk memajukan BI mereka. Teruskan berbual dalam BI dengan seorang dua sahabat ini, kemudian lakukan aktiviti lain seperti menonton DVD dan mendengar muzik dalam BI pula. Lakukan sebanyak mungkin aktiviti sosial dalam BI dengan rakan-rakan yang sependapat dengan anda. Perlahan-lahan usaha ini akan menampakkan kesan yang baik.
5. Ada juga sesetengah individu berhadapan dalam situasi yang bertentangan. Di mana, dirinya terpaksa menggunakan bahasa Inggeris kerana individu disekelingnya majoritinya menggunakan bahasa Inggeris di dalam perbualan. Namun, rasa rendah diri sering mengganggu emosi inidvidu terbabit kerana hakikatnya dia tidak sepandai rakan-rakannya itu untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Jadi, individu tersebut mengambil langkah untuk berdiam diri sahaja dan kelihatan sedikit passive dalam bersosial. Jadi, apa solusi yang saudara boleh berikan kepada individu sedemikian? Bagaimana untuk menangani dilema sedemikian?
Sekali lagi saya perlu tekankan bahawa perubahan sikap adalah permulaan kepada kemajuan di dalam BI. Tidak boleh ada rasa terlalu malu, rasa kurang yakin, dan lain-lain lagi perasaan negatif jika anda mahu berjaya di dalam BI.
Saya pernah mendidik seorang pelajar perempuan ni, dia agak lemah dan markahnya hanya ‘C’ saja dari sekolah hinggalah ke universiti. Selepas beberapa sesi kaunseling dan juga mendengar bebelan saya, pelajar itu berubah hingga dia berjaya mendapat ‘A-’.
Rupa-rupanya selama ini pelajar itu percaya bahawa dia tak sepandai rakan-rakan yang lain hingga akhirnya dia menjadi pasif dan tak mau menggunakan BI langsung. Akhirnya setelah sikap dan sistem kepercayaannya berubah, dia seperti ‘dirasuk’ kerana BI tak pernah lekang dari bibirnya di dalam kuliah. Walaupun dia banyak membuat kesalahan nahu (grammar) dan sebutannya pun tak lancar hingga dia sering ditertawakan orang lain – namun dia tetapkan hatinya dan berusaha demi kemajuan diri sendiri. Sikapnya itu memang hebat lagi luar biasa kerana dia amat berani mencuba.
Jadi nak dipendekkan cerita, tepuk dahi dan tanyalah diri – sama ada anda benar-benar mahu mencuba untuk berjaya menguasai BI atau anda benar-benar tidak kisah dan tidak mahu berusaha serta sudah bersedia dengan 1001 alasan untuk TIDAK menggunakan bahasa antarabangsa ini. Tapi ingat, pilihan anda itu nanti akan bertukar menjadi gred Bahasa Inggeris anda kelak. Jangan salahkan sesiapa jika anda sekadar mendapat ‘C’ atau ‘D’ kalau pun anda tidak gagal. Gred anda itu adalah pilihan yang anda sendiri sebenarnya!
This is the raw unedited version of my interview with Ms Siti Farhana, read the magazine for the fully edited two page interview, with photos and all mind you. By the way, Yezz is a TWEEN magazine targetted for Malaysian 10 to 17 year olds - Ed.
Continue reading? Teruskan membaca?