Duit hantaran, jual anak, seksa nikah kahwin (bakal) suami neomaskulin 2-2

* PETIKAN ruangan bulanan 'BICARA NEO MASKULIN', majalah MASKULIN, terbitan KARANGKRAF (M), edisi Oktober 2011 (draf bahagian pertama daripada dua).

Kembara ke alam perkahwinan... kembara yang penuh dugaan dan rintangan?

Kalau difikirkan secara logik tidaklah aneh kalau RM 15,000.00 diminta sebagai belanja perkahwinan. Tambahan pula hari ini segala-galanya agak mahal dan gadis yang ingin disunting itu pula anak tunggal orang tuanya yang kebetulan berpelajaran tinggi. Nah, apabila dikira dan ditambah mungkin biaya sebegitu sebenarnya agak berpatutan. Betul atau tidak?

Tetapi, sebagai anak-anak lelaki saya pasti anda boleh merasakan ‘kejutan’ yang telah dirasai oleh teman neomaskulin ini. Kenapa orang tua Shai tidak ambil kira situasi lelaki ini? Kenapa tidak dikurangkan lagi belanja temasya perkahwinan supaya ala kadar dan berdasarkan kemampuan lelaki sederhana tetapi baik budi ini?

[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]

“Apa kata orang lain nanti?” “Mana kita hendak letak muka?”

Saya tidak salahkan sesiapa dalam hal ini KECUALI kelompok masyarakat kita sendiri. Sebagai suatu komuniti, kita kadangkala terlalu sibuk dengan urusan orang lain. Akhirnya semua pihak mahu menjaga muka dan nama walaupun sebenarnya bakal suami (dan juga isteri) begitu tertekan.

Dalam hal pernikahan dan perkahwinan dalam masyarakat kita hari ini, semua orang sibuk memikirkan kata-kata orang lain, semua orang sibuk menjaga taraf sosial sedangkan pengertian sebenar pernikahan dan perkahwinan dilupakan. Akhirnya begitu banyak pasangan teman-kekasih yang masih tidak dapat menjadi suami-isteri yang sah.

Tolak jodoh? Jual anak?

Sebagai seorang lelaki, seorang suami – saya amat terharu membaca kisah lelaki ini. Saya juga yakin bahawa semakin kita maju semakin kita ke belakang kadang-kadang. Kita marah, menyumpah-seranah anak-anak muda yang bergaul bebas. Apabila ada anak-anak muda yang ingin mengikat tali perhubungan yang sah di sisi agama dan undang-undang, apa pula yang kita buat?

Kita tidak bantu mereka. Kita tekan mereka. Kita tidak hiraukan situasi hidup mereka. Kita lebih senang menjaga ‘muka’ dengan jiran-jiran. Mungkin itu juga sebabnya ada temasya perkahwinan yang menjangkau kos RM50,000.00 ke atas pada hari ini. Bukankah ini suatu pembaziran yang nyata?

Adakah ini pengertian pernikahan dan perkahwinan di mata kita semua? Malu sungguh, bodoh sekali kalau ikatan yang suci ini akhirnya dinilai dengan kos wang ringgit semata-mata. Namun begitulah kisahnya dalam kelompok masyarakat kita. Sungguh pun kita semakin moden, masih ada minda-minda yang terkebelakang seperti orang zaman purba.

Jika ini realiti yang terpaksa dihadapi oleh setiap pasangan teman-kekasih yang akhirnya sudah ketemu jodoh mereka, bolehkah mereka dipersalahkan jika mereka tidak dapat melangkah melepasi gerbang pernikahan dan perkahwinan? Haruskah mereka sahaja yang disalahkan jika mereka terus hidup di dalam dosa? Mari kita nilai dan fikirkan bersama.

3 comments:

Musafir di Bumi Tuhan said...

berpijak pada realiti kehidupan... perkahwinan permulaan bg sebuah perjalanan hidup utk dua insan.. byk lg yg perlu dirancang dan semuanya memerlukan bekalan kewangan yg mantap. Jika org tua saya amat berpegang pd adat.. dan ht yg keras ini Alhamdulillah sy mampu utk cairkan sehingga mereka faham ttg keperluan lebih dr mengikut kehendak, sy yakin masalah psgn ini juga boleh selesai. Cuma perlukan sedikit masa utk menerangkan pd org tua, mana yg Syariat n mana yg Adat.. :) Org muda mesti bijak cr jln diplomasi...

Jalini said...

saya dan suami melangsungkan perkahwinan ala kadar, rasanya lebih aman dan tidak banyak tekanan. masih bahagia dan rasanya xada pula "orang" kata apa2 yang tak patut. mungkin sebab kami biasanya menjauhi orang2 yang suka mengata, jadi mereka tak ada dalam hidup kami.

Airil Haimi Adnan a.k.a. Teech said...

Adakah ini pengertian pernikahan dan perkahwinan di mata kita semua? Malu sungguh, bodoh sekali kalau ikatan yang suci ini akhirnya dinilai dengan kos wang ringgit semata-mata.

Namun begitulah kisahnya dalam kelompok masyarakat kita. Sungguh pun kita semakin moden, masih ada minda-minda yang terkebelakang seperti orang zaman purba.

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *