PETIKAN ruangan bulanan Bicara NeoMaskulin, majalah Maskulin (Karangkraf, M'sia)
siri LIMA artikel bertajuk 'TAHUN BARU, DIRI YANG LAMA, VERSI KEMASKINI'
edisi/keluaran bulan Disember 2012 hingga bulan April 2013

Fahami hakikat serta realiti demi revolusi hidup kita, laki-laki dengan aspirasi untuk menjadi Sang NeoMaskulin!

Untuk memulakan revolusi diri, mulakan usaha dengan mengetahui realiti hidup lelaki. Tahukah anda? Semakin usia kita bertambah, semakin banyak risiko kepada kesihatan diri? Bilakah kali terakhir anda melakukan pemeriksaan kesihatan? Tahukah anda tahap kesihatan dalaman diri anda?

Mungkin anda jagoan. Mungkin juga anda jarang dilanda penyakit waima demam selesema pun boleh anda kira dengan jari di tangan anda. Akan tetapi, ini tidak pula bermakna diri anda diperbuat daripada titanium dan anda kebal daripada semua penyakit yang suka datang tanpa diundang.

Bagaimana pula dengan kesihatan mental? Adakah mental anda berada pada tahap sepatutnya? Adakah anda, seperti saya, sesekali tidak dapat mengelakkan diri daripada depresi teruk? Jika ada, apakah pula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan kesihatan mental anda terjaga?

[KLIK tajuk untuk terus membaca / CLICK title to continue reading]

Seterusnya, bilakah kali terakhir anda menilai personaliti anda secara kritis? Bagaimanakah tahap marah, dengki, tidak puas hati dan tipa toksik lain dalam personaliti anda? Adakah semuanya berada dalam kawalan? Atau adakah anda seperti bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa sahaja?

Kalau mahu diperincikan, saya rasa seluruh edisi majalah ini boleh memuatkan realiti-realiti hidup lelaki yang lazimnya kita tidak mahu fikirkan, tidak rela mengakuinya. Ya, saya pasti tidak ada manusia yang mahu berfikir tentang segala penyakit yang mungkin melanda dirinya.

Individu itu juga pasti tidak suka ditanya tahap mentalnya. Jika ditanya tentang personalitinya yang bertipa toksik, nah, jangan terkejut kalau tiba-tiba dia akan melenting memarahi anda. Bagaimana pula kisahnya dengan potensi diri? Adakah digunakan sebaiknya? Hubungan dengan Tuhan Yang Maha Pencipta? Adakah sebagai hamba kita berusaha memperbaiki segala amalan agama dan moral?

Soalan demi soalan boleh ditanya tentang realiti hidup lelaki. Namun soalan paling penting, paling relevan, paling panas... adakah diri anda yang lama itu selalu dikemaskini? Adakah insiatif dan usaha diambil untuk memperbaiki segala ciri dan unsur yang tidak elok dalam diri? Atau adakah semuanya angan-angan, sekadar resolusi sehari dua yang dibuat pada awal setiap tahun baru?

Realiti hidup lelaki neomaskulin: (sfera) kesihatan fizikal

Hidup, mati, itu ketentuan Tuhan. Pada masa yang sama, tidakkah perlu kita mengambil tindakan-tindakan positif ke arah kesihatan fizikal yang lebih baik? Mahu tidak mahu, kita semua mesti beranikan diri. Paling kurang, setahun sekali kita lelaki mesti melakukan pemeriksaan kesihatan. Tidak mahu tahu, takut untuk tahu, semua ini hanya akan membawa mudarat kepada diri sendiri.

Dan, jika risiko penyakit sudah terlihat (contohnya, orang tua anda penghidap diabetes atau pernah terkena serangan jantung), wajiblah tindakan kawalan dilakukan secepat mungkin. Tidak ada alasan lagi. Tidak boleh tunggu lagi. Bersenam dan aktiviti fizikal berfaedah lain perlu menjadi sebahagian rutin mingguan. Tidak mampu setiap hari, paling kurang, selang 2-3 hari. Kenapa pula tidak boleh?

Begitu juga dengan insurans kesihatan untuk diri sendiri serta untuk keluarga (jika anda seorang suami dan ayah). Dewasa ini insurans kesihatan sudah menjadi wajib kerana kos perubatan yang di luar jangkauan. Di samping menabung setiap bulan, pastikan anda ada takaful atau insurans kesihatan. Sekali lagi, jangan menyesal kalau sudah terlambat!

Jujur, seperti anda, saya benci beriadah dan bersenam. Lebih baik saya duduk di hadapan televisyen atau komputer. Lebih baik lagi saya tidur sahaja setiap hujung minggu atau secepat mungkin selepas pulang dari kampus. Walau bagaimanapun, sebagai lelaki dengan faktor risiko diabetes saya perlu paksa serta merajinkan diri untuk memastikan tahap glukosa dalam badan terkawal.

Kata doktor, sama ada saya menerima hakikat dan melakukan perubahan dalam hidup atau bersedia untuk penyakit teruk dan komplikasi berkaitan. Segala-galanya perlu diubah daripada tahap aktiviti harian hingga tabiat pemakanan. Semuanya sudah terlambat, kata doktor. Usia 20an dan awal 30an dahulu, saya tidak mengendahkan kesihatan. Tambahan berat badan dan makan tanpa had akhirnya membawa risiko penyakit!

Maaf, niat saya bukanlah untuk menakut-nakutkan anda. Cuma sekadar ingin berkongsi dan memberi peringatan. Seorang teman rapat saya baru disahkan menghidap kanser pangkal otak. Beliau seorang yang amat aktif dan selalu mengambil bahagian dalam lumba ‘half-marathon’ dan sebagainya.

Walaupun selalu diserang migrain, beliau tidak ambil pusing. Bekalnya tiap hari ke pejabat adalah parasetamol untuk menghilangkan pening. Kata doktor, jika penyakitnya dikesan sedari awal sudah tentu banyak tindakan kawalan boleh diambil. Inilah yang dimaksudkan, jangan menyesal apabila semuanya sudah terlambat. Lebih menyayat hati, isteri beliau baru sahaja melahirkan anak ketiga...

Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan hidup sendiri sampai kita terlupa untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Walaupun kita tidak boleh melawan takdir, kita boleh berikhtiar ke arah kesihatan fizikal yang lebih baik. Mari sama-sama jadikan usaha ini perkara pertama dan yang paling utama dalam revolusi hidup kita sebagai lelaki-lelaki dengan aspirasi untuk menjadi Sang NeoMaskulin!

BAHAGIAN 1-5

Hakikat, realiti demi revolusi hidup laki-laki;
Realiti hidup lelaki neomaskulin: kesihatan fizikal.

BAHAGIAN 2-5

Realiti hidup lelaki neomaskulin: kestabilan personaliti;
Realiti hidup lelaki neomaskulin: posisi dalam jaringan sosial.

BAHAGIAN 3-5

Realiti hidup lelaki neomaskulin: keseimbangan mental;
Realiti hidup lelaki neomaskulin: kekayaan jiwa atau spiritual.

BAHAGIAN 4-5

Inventori Lapor Kendiri Revolusi Hidup Sang (Lelaki) NeoMaskulin, item #01 hingga item #25.

BAHAGIAN 5-5

Inventori Lapor Kendiri Revolusi Hidup Sang (Lelaki) NeoMaskulin, item #26 hingga item #50.

LIBRARI TEECHCONSULT

Akses seksyen 'Lelaki NeoMaskulin' untuk huraian dan juga penjelasan penuh inventori...

TEECHCONSULT @ NOTEPAD

Perenggan awal siri artikel 'Tahun baru, diri yang lama, versi kemaskini';
Rasional untuk memulakan revolusi dalam hidup Lelaki NeoMaskulin.

TEECHCONSULT @ WORDPRESS

Entri pemberitahuan tentang Inventori Lapor Kendiri Revolusi Hidup Sang (Lelaki) NeoMaskulin.

0 comments:

Copyright © 2008 - TeechConsult@BlogSpot - [v2.0] is tweaked by Teech Airil based on the Dilectio template with thanks to Smashing Magz, Design Disease and eblogtemplates. TeechConsult at Blogspot is proudly powered by Blogger, and mutually empowered by the | TeechConsult | collective. * Weblog online December 2008, updated April 2012 *